No Comments

PENDIDIKAN PENCEGAHAN ALKOHOL



1.   Objektif Umum
     
Untuk mencegah remaja daripada memulakan amalan pengambilan alkohol.

2.   Objektif Pembelajaran
     
Pada akhir sesi latihan ini remaja akan dapat:
i.    Menjelaskan apa itu minuman beralkohol.
ii.   Menghuraikan kesan - kesan pengambilan alkohol.
iii.  Menjelaskan faktor - faktor yang mendorong pengambilan alkohol.
iv.  Menjelaskan salah persepsi mengenai pengambilan alkohol
v.   Menggunakan maklumat yang diberikan untuk membuat keputusan supaya tidak mengambil alkohol.
vi. Mengenalpasti alternatif yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah yang dihadapi

3.   Bahan Maklumat Pendidikan Mengenai Alkohol Dan Kesan Penggunaannya

3.1.      Epidemiologi masalah penggunaan alkohol di Malaysia/Global.

Penyakit-penyakit berkaitan dengan alkohol dan kecederaan merupakan satu masalah yang baru terhadap kesihatan, sosial dan ekonomi. Di seluruh dunia, pengambilan bir, wain dan spirit semakin meningkat.

Menurut World health Report 1991, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang tinggi penggunaan alkohol. Penyakit-penyakit yang berkait rapat dengan penggunaan alkohol seperti sirosis hepar dan kanser semakin meningkat.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 1996 mendapati prevalen “alkohol abuse / alcohol dependence” adalah 11%, majoriti adalah lelaki. 90% purata umur pengambilan alkohol adalah 22 tahun.

3.2.      Minuman alkohol / minuman beralkohol

Minuman beralkohol, biasanya dikenali juga sebagai minuman keras, atau  arak. Minuman ini boleh memabukkan dan boleh menimbulkan kesan ketagihan (addiction) dan pergantungan (dependance).

Minuman alkohol juga tergolong sebagai sejenis dadah, oleh kerana ia dapat memberi kesan keatas sistem saraf pusat/sistem otak dan juga kesan terhadap tubuh badan peminumnya.
     



3.3.      Jenis - jenis minuman alkohol.

Di dalam pasaran terdapat berbagai jenis minuman alkohol / minuman beralkohol yang dipasarkan. Di antaranya adalah:

–   ‘Liquor’:   iaitu yang terdiri dari jenis-jenis seperti vodka, whisky.
–   ‘Bir’ :         iaitu yang terdiri dari dari jenis-jenis seperti shandy, bir, stout.

Di samping itu juga terdapat minuman beralkohol yang digunakan secara tradisional di beberapa tempat di negara kita. Sebagai contoh adalah minuman todi dan minumansamsu yang popular di kalangan masyarakat India di negara kita.  Selain dari itu terdapat juga minuman air tuak dan minuman air tapai yang popular di beberapa tempat di negara kita.

3.4.      Kesan-kesan penggunaan alkohol

3.4.1.  Kesan Terhadap Kesihatan

3.4.1.1.  Kesan jangka pendek

Pada kuantiti yang rendah, seseorang akan hilang rasa malu. Pada kuantiti yang lebih tinggi , ia menyebabkan seseorang menjadi mudah marah, mempunyai pertuturan yang tidak lancar (slurred), hilang imbangan semasa berjalan, kecelaruan fikiran dan tidak sedarkan diri.

3.4.1.2.  Kesan jangka panjang

i.    Ketagihan

Ciri-ciri ketagihan alkohol adalah saperti berikut:
i.    Memerlukan jumlah alkohol yang lebih tinggi setiap kali ia minum bagi mencapai kesan yang sama (toleran).
ii.   Aktiviti hidupnya berpusat  pada alkohol.
iii.  Sindrom tarikan (withdrawal syndrome) akan timbul apabila individu berhenti atau kurang mengambil alkohol setelah menggunanya secara berterusan buat tempoh yang lama. Antara tanda-tanda “withdrawal” adalah ketar, keinginan yang kuat atau gian (‘craving’) untuk mendapatkan alkohol, loya, muntah, demam, gila (psikosis), sawan dan meracau. Kesan sindrom tarikan ini juga boleh membawa maut.

ii.   Kesan pada system saraf

Kesan-kesan kekal pada otak dan saraf adalah seperti hilang ingatan (amnesic syndrome) dan kebas.

iii.  Kesan-kesan pada sistem penghazaman

i) Penyakit hepar seperti hepatitis, sirosis dan kanser.
ii)   Penyakit ulser peptic (peptic ulcer)dan radang gaster (gastritis)
iii)  Muntah darah,
iv)  Radangan kelenjar pankreas (pancreatitis).
v)   Kanser gaster
vi)  Anemia
vii) Kekurangan zat makanan

iv.  Kesan pada sistem kardiovaskular

i)    Tekanan darah tinggi (hipertensi)
ii)   Strok (Angin ahmar)
iii)  Kerosakan otot jantung (kardiomiopati)
iv)  Mati pucuk(impoten)

v.   Kesan pada sistem reproduktif

i)    Mati pucuk (impoten)
ii)   Kurang nafsu seks.

vi.  Kesan psiko-sosial

i)    Cemburu buta (pathological jealousy)
ii)   Murung (depression)
iii)  Bunuh diri
iv)  Perubahan personaliti
v)   Penderaan terhadap keluarga

3.4.2.  Kesan-kesan sosial

i)    Orang yang minum minuman yang beralkohol tidak dapat memberi perhatian dan tumpuan kepada anak-anak sehingga mengabaikan  kebajikan dan pendidikan mereka.
ii)   Mereka sering hilang pertimbangan dan sanggup mendera ahli keluarga terutama wanita dan kanak-kanak secara fizikal dan mental.
iii)  Mereka juga lupa maruah diri dan keluarga sehingga ada yang terjebak melakukan sumbang muhrim.
iv)  Keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga tidak dapat dinikmati dan akhirnya berlaku penceraian.
v)   Semasa mabuk, mereka tidak boleh mengawal tingkah laku secara rasional sehingga terjerumus melakukan jenayah di luar rumah.
vi)  Ada pula yang tidak dapat menghadapi tekanan hidup dan cuba menyelesaikan masalah dengan cara membunuh diri.

3.4.3.  Kesan-kesan ekonomi

Penagihan alkohol menyebabkan badan penagih menjadi lemah dan hilang tumpuan. Individu yang terlibat dengan ketagihan alkohol kurang berminat untuk bekerja, sering kali cuai dalam menjalankan tugas dan kerapkali terlibat dalam kemalangan di tempat kerja. Akibat dari keadaan ini majikan akan mengalami kerugian kerana pekerja tidak dapat lagi menghasilkan produktiviti seperti yang diharapkan.

Kerugian ini bukan sahaja dialami oleh majikan tetapi juga kepada   pekerja sendiri di mana dia akan kehilangan pekerjaan dan keluarga pekerja akhirnya akan meghadapi masalah ekonomi yang serius.

3.4.4.  Kesan alkohol pada wanita

Penggunaan alkohol yang berlebihan boleh menyebabkan kemandulan dan gangguan haid pada wanita. Alkohol juga akan meningkatkan risiko terjadinya keguguran / ‘abortion’ dan juga kelahiran yang ‘premature’.

Pengambilan alkohol oleh wanita mengandung dapat menimbulkan kesan negatif terhadap bayi yang dikandungnya. Dalam keadaan yang berat, dapat terjadi apa yang disebutkan sebagai ‘fetal alcohol syndrome’, dimana keadaan bayi tersebut:
·   Dilahirkan dengan berat lahir yang rendah
·   Ukuran kepala yang kecil
·   Terencat akal / mental retardation
·   Rupa paras yang cacat / abnormal facies

3.4.5.  Kesan-kesan alkohol kepada remaja

Pengambilan alkohol oleh para remaja akan memberi banyak kesan negatif yang akan mempengaruhi proses pertumbuhan dan pembangunan para remaja tersebut. Diantara kesan negatif tersebut adalah:

i.    Terhadap kesihatan

Berbagai masalah kesihatan yang dibincangkan di atas juga akan terjadi kepada para remaja yang terlibat dengan pengambilan alkohol. Oleh kerana pengambilan dimulakan pada peringkat umur yang muda, sudah tentu dalam jangka panjang kesan terhadap keadaan kesihatan remaja akan lebih teruk.
i.    Proses pembelajaran akan terganggu. Pelajar tidak dapat memberi penumpuan kepada pelajaran.
ii.   Remaja / pelajar tidak menghadirkan diri ke sekolah (ponteng sekolah) dan ini akan memberi kesan terhadap prestasi pelajaran yang akan merosot.
iii.  Masalah kenakalan remaja, dimana remaja terlibat dengan masalah kenakalan / ‘delinquency’. Berkawan dengan pelajar yang bgermasalah dan terjebak dengan aktiviti negatif yang lain.
iv.  Tekanan ekonomi untuk memperolehi kewangan untuk membeli alkohol akan mendorong pelajar untuk terlibat dengan kegiatan jenayah, saperti mencuri dan lain-lain.
     
3.5.      Faktor-faktor yang mendorong pengambilan alkohol

3.5.1.  Faktor-faktor persekitaran

Di antara faktor-faktor yang dapat menjurus ke arah tingkah laku pengambilan alkohol termasuk:

i.    Mudah diperolehi :

Fenomena penjualan alkohol di berbagai kemudahan (outlet) saperti di kedai runcit, kedai kopi, pasar raya dan lain-lain lagi memudahkan kaum remaja memperolehi minuman beralkohol ini. Tambahan pula tiada undang-undang semasa yang melarang kaum remaja bukan Islam dari membeli minuman beralkohol.

ii.   Harga yang murah

Walau pun cukai atau duti impot ke atas minuman beralkohol ditingkatkan dari tahun ke tahun, namun harga minuman ini masih mampu dibeli oleh kebanyakan rakyat negara ini khususnya remaja, terutamanya minuman bir, samsu dan todi.

iii.  Pengiklanan

Iklan minuman beralkohol sering didapati di surat khabar, majalah, pawagam, dan lain-lain media yang memaparkan keghairahan dan kecanggihan gaya hidup yang dikaitkan dengan pengambilan minuman beralkohol. Sebagai contoh imej kedewasaan dan kejayaan yang didakyahkan dalam iklan-iklan memberi kesan ke atas kaum remaja  untuk mengambil minuman beralkohol.

iv.  Penguatkuasaan undang-undang

Terdapat undang-undang yang berkaitan dengan penjualan dan penggunaan minuman keras / alkohol, antaranya adalah:

–    Akta Pengangkutan Jalanraya (Road Transport Act) 1996:

·   pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk yang ditangkap bagi kali pertama akan didenda sebanyak RM2000.00 atau 6 bulan penjara atau kedua-dua sekali/ lesennya akan digantung selama setahun
·   Kesalahan berikutnya didenda RM4000.00/penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali.
·   Jika menyebabkan kematian boleh dihukum penjara 3 - 10 tahun dan boleh didenda tidak kurang RM8000.00 - RM20,000.00.
·   Akta Pembasmian Samsu Haram (Eradication of Illicit Samsu Act), 1976
·   Peruntukan ini menumpukan kepada kaedah penyediaan dan pengedaran minuman samsu.
·   Akta Makanan (Food Act)1983
·   Menghalang penjualan minuman beralkohol kepada kanak-kanak/remaja di bawah 18 tahun.

3.5.2.  Faktor-faktor Sosial

i.    Pengaruh rakan sebaya

Kebanyakan masa keremajaan dihabiskan bersama rakan-rakan sebaya.Pergaulan yang bebas ini boleh mendorong kaum remaja untuk mencuba sesuatu dalam kumpulan seperti pengambilan alkohol, rokok, dadah, dan pelbagai tingkah laku devian, yang boleh memudaratkan mereka. Melalu cara ini ramai remaja terperangkap dalam gejala sosial ini ekoran dari tekanan  rakan sebaya yang sukar untuk ditangkis.

ii.   Mencontohi ibu, bapa dan ahli keluarga

Sesetengah keluarga memberi teladan yang negatif terhadap remaja. Kemungkinan ibu bapa atau ahli keluarga menagih alkohol dan ini akan memberi kesan yang amat mendalam serta mempengaruhi remaja untuk mengamalkan tabiat ini.

iii.  Mencontohi Idola

Kebanyakan remaja mempunyai idola saperti penyanyi pop dan artis yang akan menjadi tauladan atau ikutan mereka. Jika sekiranya idola ini suka mengambil alkohol ia akan menjadi ikutan dan mendorong para remaja tersebut untuk mengambil alkohol.

iv.  Budaya

Sesetengah budaya menganggap pengambilan alkohol sebagai perkara biasa serta dihidangkan dengan meluas pada majlis-majlis  keramaian. Oleh itu kaum remaja daripada golongan tersebut menganggap tabiat mengambil alkohol bukanlah sesuatu larangan dalam masyarakat mereka. Senario seperti ini mungkin memerangkapkan remaja ke kancah pengambilan alkohol dan terus bergantung kepada alkohol.



3.5.3.  Faktor Biologi

Iaitu merangkumi faktor genetik, jantina, ciri-ciri personaliti dan ethnik.

i.    Genetik

Individu dari keluarga yang mempunyai sejarah pengambilan alkohol mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk mengambil  alkohol sebelum mereka mencapai umur 20 tahun. Faktor genetik menyumbang kepada tabiat pengambilan alkohol di kalangan kedua-dua jantina ini. Menurut satu kajian, kebanyakan wanita yang menagih alkohol  mempunyai ibu bapa yang ketagihan alkohol.

ii.   Jantina

Secara global kebanyakan penagih alkohol terdiri daripada kaum lelaki, walau bagaimana pun tren pengambilan alkohol di kalangan wanita telah meningkat sejak 30 tahun kebelakangan ini. Kaum wanita mempunyai kecenderungan untuk menjadi penagih alkohol pada peringkat umur yang lebih tua berbanding dengan lelaki.

iii.  Ethnik           

Di Amerika Syarikat, rakyat Amerika asli dan mereka dari keturunan Irish, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menagih alkohol berbanding dengan rakyat Amerika keturunan Yahudi dan Asia. Di Malaysia, masalah pengambilan alkohol lebih ketara di kalangan kaum India berbanding dengan kaum-kaum yang lain.

iv.  Ciri-ciri Personaliti dan masalah psikiatri:

Kajian-kajian menunjukkan bahawa pengambilan alkohol berkait rapat dengan tingkah laku yang impulsif, mudah terangsang (excitable) dan suka mencari keseronokan. Mereka yang mempunyai tingkah laku kurang upaya menumpukan perhatian (attention deficit hyperactivity disorder) juga menambahkan risiko ke arah penagihan alkohol.

3.6.      Tangapan yang salah mengenai alkohol

Tangapan yang salah
Fakta sebenar
i) Mengambil alkohol melambangkan kedewasaan, kematangan dan ‘macho’.
Ramai remaja yang tidak mengambil alkohol didapati lebih matang, dewasa dan’macho’
ii) Mengambil alkohol memupuk semangat kekitaan dan mudah mendapat kawan
Kawan-kawan yang tidak minum adalah lebih ramai dan lebih boleh diharap.
Perhubungan boleh bertambah erat tanpa alkohol sewaktu menjalankan aktiviti-aktiviti yang lebih berfaedah bersama-sama seperti berjogging dan bermain komputer.
iii) Mengambil alkohol adalah satu amalan bergaya, berprestij dan menunjukkan imej orang yang berjaya.
Imej akan lebih rendah terutamanya ketika sedang mabuk.


iv) Menghilangkan rasa ‘boring’ dan sebaliknya menimbulkan keseronokan.
Keseronokan yang disangka hanyalah sementara dan boleh diperolehi melalui aktiviti-aktiviti rekreasi dan hobi bersama. Sebaliknya keadaan mabuk boleh mengakibatkan loya dan murung.
v) Di waktu muda inilah peluang untuk berseronok dan boleh bertaubat sewaktu tua.
Ketagihan akan berlarutan sehingga tua dan menjadi sangat susah utuk berhenti Membiasakan diri menjadi seorang yang bertanggunjawab dari waktu muda
vi) Boleh lari dari masaalah
Mengambil alkohol boleh menambahkan lagi masalah

3.7.2.  Melibatkan diri dengan aktiviti sosial yang berfaedah

Kegiatan seperti Rakan Muda, Prostar dan berpersatuan membantu remaja menghindarkan dirpada dari alkohol.

3.7.3.  Komunikasi berkesan bersama keluarga

Gunakanlah masa yang ada untuk membincangkan sebarang masalah bersama keluarga.

3.7.4.  Patuhi ajaran agama

Kebanyakan agama melarang penganutnya  daripada mengambil alkohol. Anda boleh mengelakkan pengambilan alkohol dengan meningkatkan kefahaman agama dan mengamalkan tuntutan agama.

3.7.5   Mengatasi tekanan

Belajar menenangkan fikiran semasa menghadapi tekanan. Dapatkan bantuan daripada kaunselor jika perlu terutamanya untuk masalah yang tidak dapat diatasi.

3.7.6.  Disiplin diri

Menghindarkan diri dari majlis atau tempat-tempat yang menyediakan alkohol.

Next PostNewer Post Previous PostOlder Post Home

0 comments

Post a Comment